Input your search keywords and press Enter.

Vaksin COVID-19: Kanak-Kanak 5-12 Tahun Akan Diberi Suntikan Pfizer

M Update, 29/10/2021 – Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pilihan vaksin lain seperti vaksin Sinovac juga akan diberi pertimbangan untuk pemberian vaksin terhadap golongan tersebut.

“82.4 peratus daripada remaja (12-17 tahun) telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 62 peratus telah lengkap dua dos. Ini bermakna pembukaan semula sekolah dengan selamat.”Dengan Panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengesyorkan vaksin Pfizer untuk 5 hingga 12 tahun, Malaysia juga akan meneruskan pemerolehan Pfizer untuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui ciapan di laman media sosial Twitter, pada Khamis.

Khairy bagaimanapun belum memperincikan bilakah pemberian vaksin COVID-19 akan mula diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun itu.

Pada Selasa lalu, panel FDA mengesyorkan vaksin Pfizer-Biontech COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dengan menyatakan manfaat suntikan itu melebihi risikonya. Malaysia telah memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun pada 20 September lalu.