Sasterawan Negara A Samad Said Meninggal Dunia Pada Usia 91 Tahun

Allahyarham Datuk Seri A Samad Said

M Update, 24/11/2026 – Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada petang semalam.

Berita duka itu dimaklumkan anaknya, Helmy Abdul Samad menerusi satu hantaran di media sosial.

Menerusi perkongsian tersebut, Helmy memaklumkan bapanya meninggal dunia pada jam 6.10 petang.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di HKL selepas dimasukkan ke wad pada petang semalam berikutan faktor usia, selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.

Allahyarham yang nama sebenarnya Abdul Samad Mohamed Said dilahirkan di Melaka dan meninggal dunia pada usia 91 tahun. Beliau merupakan Sasterawan Negara keempat selepas menerima pengiktirafan berkenaan pada 1985.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang kesusasteraan, Allahyarham berjaya menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, puisi, drama dan esei yang menyumbang kepada perkembangan sastera Melayu moden.

Antara karya yang cukup dikenali termasuk novel Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985) dan Hujan Pagi (1987), selain kumpulan puisi Liar di Api.

Sebelum memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penulisan kreatif, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang di beberapa akhbar utama, antaranya Utusan Melayu, Berita Harian dan The New Straits Times.

Sementara itu, ahli keluarga serta kenalan rapat Allahyarham hadir ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar bagi memberikan penghormatan terakhir.

Solat jenazah dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk disemadikan.