Input your search keywords and press Enter.

12,964 Unit RMM Dalam Pelbagai Peringkat Pelaksanaan Di Sarawak

M Update, 23/12/2020 – Sejumlah 12,964 unit Rumah Mampu Milik (RMM) kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di Sarawak sejak Julai 2018 hingga 30 Sept 2020, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 5,037 unit rumah dalam perancangan; 3,969 unit rumah dalam pembinaan; dan 3,958 unit rumah telah disiapkan oleh tiga agensi penyedia perumahan yang melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta.

“Daripada jumlah itu, penyediaan RMM di bawah KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) adalah sebanyak 9,864 unit. Jumlah ini merangkumi 3,133 unit rumah dalam perancangan; 2,895 unit rumah dalam pembinaan; dan 3,836 unit rumah telah disiapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata antara pelan kementerian untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara ialah melalui penyelarasan RMM menerusi pelaksanaan program dan skim perumahan melibatkan Program Perumahan Rakyat (PPR); Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM); Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA); dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sementara itu, Ismail berkata lapan projek PPR merangkumi 4,140 unit rumah telah siap dibina di Sarawak manakala tiga lagi projek PPR masih dalam pembinaan melibatkan 1,112 unit rumah.

Bagi projek PPAM pula, sehingga Oktober lepas dua projek merangkumi 544 unit rumah siap dibina, tiga masih dalam pembinaan melibatkan 711 unit rumah dan dua projek dengan 538 unit rumah masih dalam peringkat kelulusan pelan bangunan serta perancangan, katanya.

Beliau berkata setakat Disember 2020, terdapat tiga projek PR1MA di Sarawak dengan pelbagai status pembinaan dan daripada jumlah itu, dua projek siap dibina iaitu Residensi Matang dan Residensi Bintawa Riverfront manakala projek Residensi Semenggoh (Fasa 1) sedang dalam pembinaan dan projek Residensi Semenggoh (Fasa 2) kini dalam perancangan.

Ismail berkata bagi program Rumah Mesra Rakyat (RMR), berdasarkan pembentangan Belanjawan 2021, sebanyak 3,000 unit RMR akan dibina di seluruh negara dan ditawarkan kepada pemohon RMR dalam senarai menunggu termasuk 488 pemohon di Sarawak.

Sebanyak 1,633 permohonan di Sarawak telah diluluskan dengan 1,438 unit telah siap manakala 195 unit masih dalam pelbagai peringkat pembinaan, katanya.