TOKOH AKADEMIK DAN BEKAS NAIB PRESIDEN PKR, DR CHANDRA MUZAFFAR MENINGGAL DUNIA

Dr Chandra Muzaffar

M Update, 27/11/2026 – Tokoh akademik dan cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar, dilaporkan meninggal dunia pada usia 79 tahun, hari ini.

Pemergian Allahyarham disahkan oleh cucunya ketika dihubungi Berita Harian (BH), selain turut mendapat pengesahan daripada pegawai beliau.

Menurut cucunya, Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke hospital susulan masalah jantung sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 petang.

Berita pemergian tokoh berkenaan turut dimaklumkan menerusi satu kenyataan di Facebook oleh Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), organisasi yang diterajuinya sebagai presiden.

Dalam kenyataan tersebut, JUST menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan Allahyarham serta memaklumkan maklumat lanjut mengenai urusan pengebumian akan diumumkan kemudian.

Allahyarham merupakan antara tokoh penting dalam penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden parti berkenaan.

Selain aktif sebagai aktivis hak asasi manusia, beliau turut dikenali atas sumbangan dalam memperjuangkan keadilan sosial, menggalakkan dialog antara agama serta memperkukuh hubungan antara peradaban.

Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.