M Update, 26/04/2019 – Myanmar mula membebaskan tahanan hari ini selepas presiden mengumumkan akan memberi pengampunan kepada hampir 7,000 banduan susulan pembebasan ribuan tahanan awal bulan ini.
Presiden Win Myint memberikan pengampunan tanpa syarat kepada 6,948 tahanan yang menjalani hukuman penjara di seluruh negara ‘bagi menggembirakan rakyat Myanmar dan mengambil kira kebimbangan kumpulan hak asasi kemanusiaan,” menurut satu kenyataan.
Lebih 9,000 tahanan dibebaskan pada 17 April lalu, hari pertama sambutan Tahun Baru tradisional negara itu. Namun aktivis hak asasi manusia kecewa kerana pengampunan itu hanya membebaskan dua pesalah politik.
Jurucakap jabatan penjara, Min Tun Soe memberitahu Reuters, pengampunan pada hari ini juga tidak membabitkan ramai aktivis.
“Berdasarkan senarai pengampunan, majoriti yang bakal dibebaskan adalah pesalah berkaitan dadah,” katanya.
Pembebasan hari ini juga tidak menyenaraikan dua wartawan Reuters yang dipenjara kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi negara itu.
Selasa lalu, Mahkamah Agung Myanmar menolak rayuan kali terakhir wartawan Wa Lone, 33 dan Kyaw Soe Oo, 29 sekali gus mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas mereka.
Jurucakap kerajaan, Zaw Htay memberitahu pemberita di ibu negara Naypyitaw bahawa anggota kumpulan bersenjata dan mereka yang terbabit dengan kes berkaitan politik akan dibebaskan dalam proses pengampunan ketiga
Bagaimanapun tarikh pengampunan membabitkan lebih 6,000 banduan itu masih belum didedahkan, menurut video yang diterbitkan oleh akhbar The Speaker. – Reuters