Input your search keywords and press Enter.

Warga Emas Maut Nahas Kenderaan Pacuan Empat Roda

M Update, 26/04/2019 – Seorang warga emas maut, manakala tiga lagi termasuk dua anaknya cedera apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 72 Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata dalam nahas jam 6 petang, Poh Chu Haa, 72, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati kenderaan dari arah Mersing ke Kluang itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh menyebabkannya terbabas sebelum terbalik dan berpusing beberapa kali.

“Akibatnya, Chu Haa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tersepit dan mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebaik sahaja dikeluarkan dari kenderaan itu.

“Dua anak mangsa berusia 44 dan 43 tahun serta seorang saudara mereka berumur 60 tahun pula cedera dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini, untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa turut dihantar ke HEBHK untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Leave a Reply