M Update, 14/5/2019 – Keluarga ketua jururawat Hospital Serdang yang hilang sejak seminggu lalu, meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, sudah ditemui.
Adiknya, Siti Khairani Mohd Kamarudin, 36, berkata masih ramai menghubunginya bertanyakan sama ada benar kakaknya itu sudah ditemui. Katanya, sehingga kini ahli keluarga masih belum mendapat sebarang maklumat berkaitan kehilangan kakaknya itu. Setakat ini tiada orang awam yang menghubungi saya memberi maklumat di mana kakak saya berada, cuma ada beberapa individu menghubungi bertanya sama ada betul ke kakak sudah ditemui seperti disebarkan di media sosial.
“Saya harap mereka hentikan sebar maklumat palsu berkenaan, kakak saya belum ditemui. Jika ada nampak dia di mana-mana, boleh hubungi saya di talian 012- 2587764,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun. Suami dan semua anaknya menetap di di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada Rabu minggu lalu. Beliau dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih. Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanya mengenai keadaannya apabila tidak pulang ke rumah dan melapor diri bertugas di tempat kerja. – BH Online