M Update, 14/05/2019 – Pesuruh jaya polis wanita Papua menyeru wanita di negara itu bangkit membela nasib sendiri kerana mereka hidup di negara yang keganasan seksual sudah menjadi penyakit, wanita masih menjadi sasaran dan serangan untuk tujuan sihir serta tidak wujudnya suara wanita di parlimen.
Julie Palakai, 43, mangsa keganasan rumah tangga dan veteran 18 tahun dalam pasukan seragam, adalah seorang pegawai kanan polis wanita di Papua New Guinea – menyeru seluruh wanita di negara itu bangkit menentang seksisme bersamanya.
“Wanita perlu berusaha dan bangkit menentang sebarang bentuk diskriminasi, penderaan dan gangguan seksual di tempat kerja,” katanya kepada AFP.
“Bagi wanita muda yang masih berusaha, jangan berputus asa tetapi usaha yang terbaik untuk mencapai impian dan mencari hidup yang lebih baik serta bahagia. Tidak ada yang mustahil,” katanya.
Laporan Human Rights Watch menamakan Papua new Guinea sebagai sebuah negara paling bahaya di dunia untuk wanita kerana dianggarkan 70 peratus wanita menjadi mangsa rogol dan gangguan seksual sepanjang hidup mereka.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, keganasan membabitkan ahli sihir masih menjadi isu, wanita dan anak gadis menjadi sasaran utama, walaupun lelaki pernah menjadi mangsa buruan ahli sihir.
Setakat ini daripada 111 kerusi parlimen yang terdapat di negara itu tidak ada satu pun diwakili oleh wanita, hanya beberapa orang wanita bertugas dalam pasukan polis.
Julie adalah satu-satunya pegawai pesuruh jaya wanita – istilah payung untuk pengurusan kanan daripada pemeriksa gred ke atas – di semua kawasan Kepulauan Timur Laut Papua New Guinea. – AFP