Input your search keywords and press Enter.

Polis Kesan Dua Suspek Langgar, Seret Lelaki Hingga Mati

M Update, 17/02/2023 – Polis giat mengesan dua suspek kes langgar lari seorang lelaki di kawasan Ambang Botanic, Bukit Tinggi, dekat sini, pada pagi Ahad lalu.

Dua suspek lelaki terbabit dikenali sebagai S Sundar, 33 dan S Philip Anthony, 24.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima laporan seorang lelaki warga tempatan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai dilanggar oleh kenderaan di kawasan Ambang Botanic.

Katanya, lelaki itu disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pegawai perubatan.

“Siasatan mendapati, kejadian ini berlaku sekitar jam 6 pagi pada Ahad lalu.

“Mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta jenis BMW, yang dipandu seorang lelaki warga tempatan, secara sengaja dan menyeret mangsa lebih kurang 40 meter sebelum melarikan diri.

“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua pihak di sebuah kafe di kawasan Bandar Botanik Klang sebelum suspek bertindak melanggar mangsa di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Hoong Fong berkata, pemeriksaan di tempat kejadian oleh Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

Orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali suspek diminta untuk menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Syed Robart Syed Mohd Zain. – Berita Harian