M Update, 30/9/2019 – Kerajaan tidak melanjutkan tempoh Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang akan berakhir hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ini kerana pihaknya sudah memberikan tempoh mencukupi buat pembayar cukai untuk mengisytihar pendapatan masing-masing secara sukarela kepada LHDN. Katanya, individu yang belum membuat pengisytiharan sama ada disengajakan atau pun tidak masih lagi mempunyai masa sehingga hari ini untuk berbuat demikian.
Jika gagal, penalti antara 45 hingga 300 peratus boleh dikenakan terhadap mereka. Hari ini (30 September) adalah hari terakhir PKPS. Saya harap sesiapa yang nak buat pelaporan masih boleh bentangkan dan semua akan dikira masih sah laku asalkan ia dibuat paling lewat hari ini.
“Tidak akan ada lagi lanjutan lagi selepas itu kerana sungguh pun dibentang hari ini, ia masih sah sebab prosesnya akan memakan masa dua minggu hingga satu bulan,” katanya.
PKPS yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 adalah inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya mengurangkan ketirisan hasil negara. Mulai 1 Oktober, penalti minimum sebanyak 45 peratus akan dikenakan ke atas apa-apa pendapatan yang tidak diisytiharkan atau tidak diisytiharkan untuk tujuan cukai. – BH Online