M Update, 7/2/2020 – Tulisan jawi adalah satu medium komunikasi terbaik kepada umat Islam untuk mudah celik dalam bacaan al-Quran.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, jika seseorang itu tidak dapat membaca tulisan jawi ia pasti boleh membawa kegagalan dalam membaca al-Quran.
Titahnya, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tulisan jawi terus ada dan menjadi alat komunikasi kepada masyarakat.
“Maka kita sebagai umat Islam perlu terus memelihara dan memartabatkan tulisan ini agar ia tidak ditelan zaman. Ini kerana tulisan jawi memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan Islam di alam Melayu,” titahnya.
Baginda bertitah demikian sewaktu mencemar duli menyampaikan ucapan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-16 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama isteri, Datin Seri Burhah Mohamed; Exco Hal Ehwal Agama Pelajaran dan Kesihatan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. Seramai 30 peserta telah menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang kali ke-16 yang dimenangi Qari, Mohamad Syaheed Sabri dan Qariah, Norhanani Ayob.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal mengingatkan semua umat Islam berpegang teguh pada ajaran Islam, perintah dan larangan yang terkandung dalam al-Quran. Baginda juga mahu Kitab suci ALLAH itu dijadikan sumber rujukan dalam menyelesaikan masalah kehidupan.
“Jangan sesekali kita hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain demi kepentingan diri serta kumpulan politik semata-mata,” katanya.
Tengku Hassanal turut bertitah, supaya semua umat Islam melazimi bacaan al-Quran pada setiap hari secara istiqamah. Titahnya lagi, ibu bapa dan majikan perlu membudayakan amalan di rumah dan di tempat kerja.
“Elak malu untuk belajar al-Quran, jika tidak pandai dan manfaatkan teknologi dengan memuat naik perisian al-Quran dalam telefon bimbit,” titahnya.
Sumber : SH Online