Input your search keywords and press Enter.

Henti Ambil Ubat Batuk Ada Pholcodine

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 24/03/2023 – Pihak berkuasa kawalan dadah kebangsaan telah membatalkan pendaftaran 14 produk mengandungi pholcodine di Malaysia serta mengeluarkan arahan panggil balik terhadap semua produk yang mengandungi bahan tersebut.

Keputusan ini dibuat berikutan terdapat risiko keselamatan yang dikesan boleh mengakibatkan anafilaksis, iaitu reaksi alahan teruk dan boleh mengancam nyawa.

Data yang ada menunjukkan bahawa penggunaan pholcodine dalam 12 bulan sebelum pembedahan, adalah faktor risiko untuk kejadian alahan serius dengan penggunaan Agen Penghalang Neuromuskular.

“Pholcodine adalah sejenis ubat bagi mengawal dan menghentikan batuk jenis kering (nonproductive/dry, irritating) dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak. Di Malaysia, pholcodine diklasifikasikan sebagai ubat terkawal Kumpulan C dan boleh diperoleh tanpa preskripsi. Ada sejumlah 14 produk mengandungi pholcodine yang berdaftar dengan PBKD dalam bentuk tunggal dan kombinasi dengan ubat lain,” menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Setelah mempertimbangkan bahawa tiada langkah meminimumkan risiko yang sesuai boleh diambil untuk mengurangkan risiko ini dan tidak mungkin untuk mengenal pasti populasi pesakit yang manfaat pholcodine melebihi risikonya, keputusan telah diambil untuk menarik balik ubat yang mengandungi pholcodine daripada pasaran.

Dr Noor Hisham memaklumkan, ada ubatan alternatif boleh digunakan bagi indikasi batuk jenis kering (nonproductive/dry, irritating), seperti produk mengandungi dextromethorphan. Setakat ini, terdapat lebih 40 produk mengandungi dextromethorphan dalam bentuk tunggal dan kombinasi dengan ubat lain yang berdaftar dengan PBKD.

Susulan pembatalan pendaftaran produk mengandungi pholcodine, katanya, semua syarikat Pemegang Pendaftaran Produk bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada farmasi komuniti dan klinik yang telah dibekalkan produk itu, supaya berhenti menjual dan memastikan produk dikuarantin sebelum dipulangkan semula kepada pembekal.

Anggota kesihatan juga diingatkan berhenti memperskripsi, mendispens, menjual atau mengedar semua produk mengandungi pholcodine dengan serta-merta. Noor Hisham juga berkata semua baki stok produk mengandungi pholcodine, perlu dikuarantin dan dipulangkan semula kepada pembekal. Manakala pesakit yang alami batuk jenis ‘nonproductive’ hendaklah diberi ubat alternatif.