M Update, 11/2/2020 – Seorang pemandu lori didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol Januari lalu.
Majistret Azizah Ahmad membuat keputusan itu selepas S Subasangkara, 26 dari Rawang, Selangor mengaku bersalah pertuduhan kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Halimatun Saadiah Abdullah. Berdasarkan pertuduhan, Subasangkara didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Kilometer 10 Jalan Kuantan – Pekan kira-kira jam 3 pagi pada 12 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan manakala bagi kesalahan seterusnya boleh didenda dari RM2 hingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun.
Mengikut fakta kes, Subasangkara ditahan selepas gagal berhenti di sekatan jalan raya di Kilometer 10 Jalan Kuantan – Peka. Pemeriksaan dilakukan dan mendapati dia memandu dalam keadaan mabuk berikutan penemuan satu botol arak di tempat letak barang dalam lori tanpa muatan itu. – SH Online