M Update, 5/3/2020 – Jabatan Imigresen menutup semua laluan pagar automatik untuk warganegara Malaysia, E-Gate bagi warga asing (NERS) dan Sistem Pelepasan Automatik (MACS) di semua pintu masuk negara, berkuat kuasa serta merta.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata penutupan semua laluan berkenaan tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke negara ini.
“Penutupan itu bertujuan untuk kawalan lebih ketat dalam menangani penularan wabak COVID-19. Ini kerjasama erat di antara Jabatan Imigresen dengan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi semalam. Difahamkan, semua pelawat yang memasuki negara ini akan melalui kaunter biasa dan bukannya kaunter automatik seperti sebelum ini kerana perlu menjalani beberapa saringan yang ditetapkan, sebelum boleh masuk ke negara ini.
Terdahulu, tular di laman sosial mengenai satu surat dari Jabatan Imigresen kepada semua Pengarah Imigresen Negeri bagi memaklumkan mengenai penutupan semua laluan pintu masuk berkenaan.
Berdasarkan surat bertarikh 4 Mac itu, langkah penutupan semua pintu masuk berkenaan hanyalah sementara dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa.