M Update, 3/11/2020 – Tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid memohon peminat bola sepak negara supaya menjaga adab dan nama Malaysia terutama di laman sosial rasmi kelabnya, Portimonense SC.
Kata pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu lagi, dia tetap menghargai peminat bola sepak negara yang sentiasa menyokongnya dan menganggap mereka adalah tulang belakang di atas kejayaannya selama ini.
Jelas Safawi, dia sedar harapan tinggi yang diletakkan oleh jutaan penyokong bola sepak tanah air yang mahu melihat dirinya beraksi di Portugal selepas menyertai kelab itu pada awal bulan lalu. Katanya, dia sudah berusaha melakukan yang terbaik bagi memikat perhatian barisan kejurulatihan namun rezekinya belum sampai.
Saya harap penyokong bersabar. Saya tahu mereka tidak sabar untuk melihat saya tampil buat kali pertama tetapi kita jaga adab kita dan nama Malaysia kita. Apapun, terima kasih sentiasa memberi sokongan kepada saya. Insya-Allah sampai rezeki saya, saya akan membuatkan penyokong gembira. – Safawi Rasid
Menurut Safawi, dia tidak tertekan dengan tindakan penyokong yang meletakkan harapan tinggi di bahunya. Lantas, pemain kaki kiri berbisa yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim itu berharap semua pihak bersabar dan mendoakan kejayaannya di sana.
Bagi Safawi, tiada tekanan kerana kita tidak boleh mengawal mereka. Tetapi Safawi harap peminat dapat menjaga adab kita di media sosial kerana rakyat Malaysia terkenal dengan budi bahasa yang tinggi. Hampir sebulan Safawi di sana, banyak perkara yang sudah dia pelajari. Apa yang penting Safawi perlu kuat untuk disenaraikan dan mendapat peluang beraksi.