M Update, 22/12/2020 – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melakukan penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana banjir sedia ada, bagi memastikan ia menepati garis panduan pencegahan penularan COVID-19.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata beberapa kelemahan dikenal pasti hasil maklum balas diterima daripada pihak pengurusan banjir negeri.
Katanya, penambahbaikan itu merangkumi keperluan penyediaan kemudahan talian komunikasi yang lebih baik khususnya di kawasan pedalaman.
“Penekanan juga perlu diberikan terhadap aspek penyediaan makanan lebih selamat kepada penduduk terjejas banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini.
Pada kunjungan itu, Perdana Menteri meluangkan masa hampir sejam untuk beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada 59 keluarga yang berlindung di PPS itu.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, setakat ini Perdana Menteri berpuas hati dengan SOP
pencegahan penularan COVID-19 yang dilakukan.
“Namun kita berharap pasukan tidak leka dan persediaan rapi tetap dilakukan untuk berdepan gelombang banjir seterusnya yang dijangka bermula 27 Disember depan.
“Di Kelantan baru gelombang kedua banjir dan dijangka ada dua gelombang lagi. Setiap tahun selalunya akan ada tiga hingga empat gelombang,” katanya.