M Update, 05/01/2021 – Seorang lelaki yang tidak pulang ke rumahnya sejak tiga hari lalu ditemui mati dalam tali air berhampiran Taman Burung Perai, di sini, petang semalam.
Mayat, K Saravanan,29 ditemui terapung dan hanya berseluar dalam oleh seorang wanita pada jam 3.45 petang semalam sebelum melaporkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan dan mendapati mayat sudah membengkak dan berbau.
“Mayat kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat lemas dan tidak menemui sebarang kecederaan atau unsur perlakuan jenayah pada tubuh badannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Shafee berkata, adik mangsa memaklumkan abangnya yang bekerja sebagai operator, keluar dari rumah di Taman Inderawasih Perai pada jam 1 tengah hari, Sabtu lalu dengan menunggang motosikal namun tidak pulang selepas itu.
“Mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.