Kebanjiran warga kota dan asing untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) memberi impak negatif kepada premis berkenaan, apabila terdapat banyak sampah sarap ditinggalkan di lokasi terbabit.
Bagaimanapun, kehadiran ‘duta’ pelancongan negara sebagai sukarelawan di PPV berkenaan sedikit sebanyak melegakan, apabila masih ada lagi warga kota yang mengambil berat tentang kebersihan alam sekitar.
Tanggungjawab sosial ditunjukkan Rudy Irwan Shukaime, 41, yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengutip sampah sarap ditinggalkan penerima vaksin di sekitar PPV terbabit wajar dicontohi oleh semua pihak.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) berkata, PPV mega terbabit agak tercemar sejak beberapa hari lalu, apabila lambakan sampah sarap kelihatan di merata tempat, susulan pertambahan jumlah penerima vaksin.
Bagaimanapun, beliau enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mengambil inisiatif sendiri untuk mengutip sampah sarap terbabit ketika waktu rehat.
“Sejak beberapa hari lalu, PPV KLCC menjadi tumpuan orang ramai termasuk warga asing, susulan Operasi Lonjakan Kapasiti yang dijalankan untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi di negara. Senario itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada sampah sarap yang ada di sekitar kawasan PPV ini kerana orang ramai berkumpul sambil menunggu giliran mereka (divaksin),” katanya ketika dihubungi Getaran.
Sudah terbiasa dengan kerja-kerja pembersihan, Rudy berkata beliau tidak menunggu lama untuk membersihkan kawasan berkenaan walaupun ia bukanlah termaktub dalam skop tugasan sukarelawan di PPV terbabit.
Kebanyakan sampah yang ditinggalkan adalah kotak minuman, tin serta botol air, kotak atau puntung rokok dan plastik makanan.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak untuk bertanggungjawab terhadap sisa makanan dan minuman mereka dengan membuangnya di tempat yang disediakan supaya tidak mencemarkan pemandangan dan persekitaran di sini,” katanya. –
Sumber : Getaran, 29 Julai 2021