Input your search keywords and press Enter.

Bantuan Khas Aidilfitri RM500 Untuk Penjawat Awam

M Update, 05/04/2022 – Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian itu termasuk kepada kakitangan di bawah skim ‘contract of service,’ ‘contract for service,’ pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

“Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan. Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April iaitu pada 25 April ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, bantuan khas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.

Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Aidilfitri.

Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Katanya, kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas itu dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi. – HM