M Update, 07/03/2022 – Timbalan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dilantik sebagai Panglima TUDM yang ke-20 berkuat kuasa hari ini.
Beliau menggantikan Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang akan bersara wajib bermula September ini.
Upacara pemakaian pangkat jeneral kepada Mohd Asghar dilakukan sendiri oleh Ackbal di Pangkalan Udara Subang disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang. Selain itu, Ackbal turut menyerahkan tongkat kuasa Panglima TUDM kepada Mohd Asghar pada majlis serah terima tugas jawatan nombor satu TUDM itu.
Sementara itu, Ackbal dalam ucapannya berterima kasih kepada semua peringkat kepimpinan di atas kerjasama dan sokongan diberikan.
“Saya menaruh harapan tinggi dan memandang jauh ke hadapan supaya TUDM di bawah pimpinan Panglima TUDM yang baharu mendapat kejayaan demi kejayaan,” katanya pada perbarisan persaraan Panglima Tentera Udara (PTU) ke-19 dan serah terima tugas di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Terdahulu, Ackbal diraikan dalam majlis penuh istiadat ketenteraan di Pangkalan Udara Subang.
Mohd Asghar Khan, 57, anak kelahiran Selangor menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1983 sebagai pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja sebelum memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang TUDM pada 1985.
Beliau berkata, pengalamannya sebagai Timbalan PTU selama dua tahun di bawah pimpinan Ackbal akan digunakan bagi meneruskan usaha memantapkan pasukan udara itu.
“Kami melalui cabaran dalam menghadapi situasi negara berdepan COVID-19 dan usaha bersama ini akan diteruskan. Terima kasih atas kepercayaan kepada saya untuk menerajui TUDM,” katanya. – BH