Input your search keywords and press Enter.

Sindiket Penipuan Panggilan, Guna Maklumat Portal Kerajaan – JSJK

M Update, 31/12/2020 – Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket penipuan panggilan dengan tertangkapnya 22 individu terdiri daripada 19 lelaki dan tiga wanita berumur antara 20 dan 46 tahun dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata serbuan dibuat antara pukul 7.00 pagi hingga 4.00 petang hasil risikan serta maklumat orang awam, dan polis turut merampas pelbagai barangan termasuk dua kereta, tiga komputer riba, 47 telefon bimbit, 12 pasport dan 37 set skrip. 

Beliau berkata sindiket itu aktif sejak April 2018 yang mana beberapa individu menjalani latihan selama seminggu di Kemboja dan bekerja di Laos sehingga Mac 2020 sebelum balik ke Malaysia pada Mei lalu disebabkan COVID-19.

“Pada akhir September lepas, mereka berkerja dari rumah transit di Menglembu, di sini, sebelum pindah ke ‘Call Centre Telecommunication Fraud’ di Taiping pada awal November dan berhenti. Pada pertengahan bulan ini mereka kembali beroperasi di sini sehingga tarikh serbuan (29 Dis),” katanya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini. 

Katanya setiap ahli sindiket menerima komisen antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dan kumpulan itu dipercayai terlibat dengan 29 kes penipuan melibatkan mangsa dari seluruh negara dengan kerugian RM360,000 sejak kembali aktif pada November.

Zainuddin berkata kesemua suspek kini direman empat hari sejak 29 Dis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tindakan turut diambil mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.