M Update, 13/04/2022 – Hasrat seorang wanita merakam gambar berlatarbelakangkan pemandangan indah di Tasik Biru Kangkar Pulai atau Blue Lagoon mengundang padah apabila mangsa maut selepas terjatuh dari tebing tasik pada ketinggian 23 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.06 petang tadi.
Beliau berkata, sebuah fire rescue tender (FRT) bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pikap dengan kekuatan 11 anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Suraini Adnan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai ke tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan mendapati seorang wanita, V Aruna, 25, terjatuh akibat tergelincir.
Katanya, suami mangsa memaklumkan kejadian berlaku ketika mangsa cuba merakam gambar pemandangan tasik biru berkenaan.
Suami mangsa difahamkan bersamanya ketika melakukan aktiviti mendaki.
Anggota bomba menemui mangsa di sekitar kawasan anak sungai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.08 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan tasik yang terletak bersebelahan kuari adalah kawasan larangan namun menjadi tarikan bagi aktiviti mendaki. – BH