M Update, 23/08/2022 – Sebanyak 18 jalan di sekitar ibu kota akan ditutup dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari bagi memberi laluan kepada program sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata antara jalan yang terlibat ialah Jalan Travers, Jalan Damansara, Jalan Damansara (arah ke Bangsar), Bulatan Hishamuddin, Jalan Kinabalu (arah Selayang), Jalan Kinabalu (arah Cheras), Jalan Kinabalu (Bulatan Dato Onn), Jalan Kuching, Bulatan Dato Onn (dari Jalan Parlimen), Bulatan Dato Onn (dari Jalan Sultan Salahuddin), Jalan Tun H. S. Lee, Jalan Gereja, Jalan Hang Kasturi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi dan Jalan Bunus 6.
Beliau berkata pada 26 Ogos pula Jalan Sultan Hishamuddin dan Jalan Raja akan ditutup untuk memberi laluan kepada raptai skeleton.
“Pada 27 hingga 29 Ogos raptai penuh akan dijalankan dan semua laluan menghala ke Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Travers ke arah Dataran Merdeka, Jalan Damansara dari arah Seremban Highway, susur ke Jalan Travers dan Jalan Damansara dari arah Parlimen menghala ke Bangsar akan ditutup,” katanya ketika ditemu bual Bernama Radio, hari ini.
Selain itu, katanya jalan di Bulatan Hishamuddin, Jalan Kinabalu arah Selayang dan arah Cheras akan ditutup semasa raptai penuh itu, dengan semua kenderaan akan dihala ke Selayang.
“Pada 30 Ogos tiada penutupan akan dibuat manakala 31 Ogos adalah hari perarakan,” katanya.
Sarifudin turut menasihati orang ramai menggunakan pengangkutan awam yang akan mula beroperasi bermula 4 pagi pada 31 Ogos untuk ke Dataran Merdeka bagi mengelak kesesakan.
Tambahnya, semua jalan akan dibuka semula secara berperingkat setelah sambutan selesai.
Katanya 175 pegawai dan anggota polis membuat pemantauan dan kawalan di setiap persimpangan penutupan jalan di sekitar ibu kota pada hari berkenaan, beliau menganggarkan kira-kira 50,000 orang dijangka hadir memeriahkan sambutan. – Bernama