M Update, 13/12/2022 – Kerajaan akan menyegerakan perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan sebanyak RM30 juta sudah diluluskan bagi tujuan itu. Beliau berkata, penggunaan kamera badan bagi tujuan penguatkuasaan adalah perlu buat masa ini dan bajet sesuai untuk tujuan itu juga sudah diperuntukkan.
“Keperluan bajet bagi proses perolehan ini membabitkan beberapa kementerian, khususnya Kementerian Kewangan. Saya difahamkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), mereka akan terus menyusul dengan tindakan.
“Ia bagi memastikan supaya ia (perolehan) akan disegerakan. Kita tiada kawalan terhadap aspek itu. Kita harap kerenah yang melambatkan akan dapat diatasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan sesi taklimat bersama pengurusan kanan PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. – Berita Harian