Oleh Awani
M Update, 09/05/2023 – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah terkawal demi memastikan aliran wang ke dalam ekonomi Malaysia adalah pada tahap yang optimum.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, kerajaan harus menghormati budi bicara Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menentukan polisi kewangan yang terbaik dengan situasi ekonomi negara.
“Sudah tentu kerajaan dengan BNM bekerjasama dan ada kesefahaman. Cuma kita juga berhati-hati untuk menghormati (budi bicara) dan perlu ada timbang tara dari segi penetapan kadar OPR atau kesan sebenarnya untuk mengawal aliran wang ke dalam ekonomi,” katanya.
Rafizi juga menyatakan bahawa tindakan menaikkan kadar OPR ini adalah tindakan awal sebagai persediaan untuk berdepan dengan kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah dalam masa terdekat.
“Kerana ia bukan soal inflasi semata-mata, ia juga soal kemasukan wang ke negara ini. Jurang kadar OPR kita dengan Amerika Syarikat dan negera serantau masih besar iaitu antara 2 peratus.
“Jadi kalau Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah mereka dalam masa terdekat, jika tidak ditangani dengan baik, itu akan menyebabkan dana atau portfolio pelaburan keluar dari Malaysia ke negara-negara lain,” katanya lagi.
Rafizi mengingatkan bahawa ekonomi global ketika ini sudah beralih kepada ketetapan seperti sebelum pandemik. Oleh itu, sekiranya OPR tidak dinaikkan, ia berisiko menyebabkan pelaburan tidak masuk ke Malaysia.
Seterusnya ia juga boleh menyebabkan mata wang negara terus melemah. Natijah yang lebih parah, katanya, ialah situasi tersebut boleh melonjakkan harga barangan keperluan rakyat.