M Update, 04/09/2023 – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa jua yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di negara ini.
Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba menghasut rakyat sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan antara kaum.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak gentar dan terbuka untuk dikritik namun sebarang cubaan menghasut rakyat sehingga mencetuskan konflik dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini tidak boleh diterima sama sekali.
Perdana Menteri menegaskan, sebarang tindakan termasuk mengkritik, harus mempunyai had.
“Jangan melampau. Jangan ada sesiapa mencuit soal kaum dan agama, saya akan mengambil tindakan setegas-tegasnya.
“Kamu boleh kacau apa yang kamu nak, kamu boleh kata zalim, kamu boleh buat apa saja, boleh bicara apa saja, boleh kritik siapa saja, namun kritik Raja ada hadnya.
“Kamu guna sentimen hasut orang Melayu benci kaum Cina. Kamu hasut orang, guna agama menyatakan kita semua macam kafir.
“Saya tegaskan di sini, saya tidak akan bertolak ansur,” katanya.
Anwar berkata rakyat mesti menolak pihak yang cuma menggunakan politik kebencian dan ekstrimis.
Selain itu, Anwar juga berkata beliau tidak kisah dan mampu bersabar walaupun sering dikecam serta dicerca pembangkang. Namun jika ada sesiapa termasuk pembangkang menyentuh Raja-raja, beliau berkata, maka mereka perlu menanggung akibatnya sendiri.