M Update, 19/10/2023 – Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan bahawa beliau dihubungi oleh pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyatakan rasa kurang senang Washington terhadap beberapa kenyataan keras Malaysia terhadap Israel.
Walaubagaimanapun, beliau menjelaskan Kerajaan dan rakyat Malaysia yang waras tidak mungkin sama sekali akan meluahkan rasa simpati terhadap Israel.
Ketika ditanya pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat adakah mungkin Malaysia akan menyatakan rasa simpati terhadap nasib rakyat Israel, Mohamed Nazri menegaskan simpati Malaysia adalah hanya untuk Palestin.
Ini kerana negara-negara kuasa besar tidak pernah menyatakan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak dan warga tua Palestin yang berpuluh tahun menderita akibat tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.
Mana mungkin Malaysia akan memberikan simpati kepada pihak yang bertindak tanpa perikemanusiaan seperti rejim Israel,” katanya. Tidak ada sebab untuk Malaysia tidak bersama dengan rakyat Palestin dalam usaha mereka menuntut hak yang telah dirampas Israel.
“Malaysia juga tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan mana-mana pihak atas sokongan yang diberikan kepada Hamas dan Palestin,” katanya.
Mohamed Nazri juga memberitahu pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia akan sentiasa bersolidari dengan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Tegas beliau, dalam apa juga situasi Israel yang seharusnya segera mengentikan pengeboman di Gaza dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir.
“Hanya mereka yang mengalami masaah mental sahaja akan menyokong apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Israel tidak perlu play victim dalam perkara ini kerana tindakan mereka selama ini jauh lebih ganas dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian