M Update, 26/02/2024 – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini. Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024 lepas.
Selesai istiadat berkenaan, pasangan diraja diiringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja, yang merupakan titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac 2024 diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac 2024.
Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung 18 Mac hingga 4 April 2024.