M Update, 06/05/2024 – Tiga lemas manakala tiga lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas dihanyutkan air dalam tragedi kepala air di Lembah Maksina, Makuau, Tungku, Lahad Datu malam tadi.
Terdapat sekumpulan 17 orang peserta yang terlibat dalam aktiviti river trekking di Lembah Maksina yang dihanyutkan kepala air itu kira-kira jam 8 malam sehingga mengakibatkan enam hilang, dua cedera dan sembilan lagi terperangkap.
Mangsa berusia lingkungan 25 hingga 58 tahun itu dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk melakukan aktiviti pendakian bersama 11 lagi pendaki.
Menurut pihak bomba, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.28 malam. Panggilan tersebut dibuat oleh dua mangsa yang berjaya keluar sendiri daripada kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.
Manakala sembilan mangsa membabitkan enam lelaki dan tiga wanita berjaya dibawa keluar kira-kira jam 12 tengah malam.
Pihak bomba telah menemui tiga jasad tertimbus di bawah kayu balak pada jam 1.37 pagi dan operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan pasukan operasi. Identiti ketiga-tiga mangsa yang ditemui masih belum dapat dikenal pasti dan usaha mencari tiga lagi mangsa sedang giat dijalankan oleh pihak bomba.
Operasi terpaksa ditangguhkan jam 1.40 pagi tadi berikutan cuaca kurang baik dan keadaan gelap sebelum operasi mencari menyelamat disambung semula pada 6 pagi.