Input your search keywords and press Enter.

Takrifan Buli Siber Akan Diteliti Agar Pesalah Terima Hukuman Setimpal

M Update, 18/07/2024 – Kementerian Komunikasi sedang berusaha untuk menangani isu buli siber dengan lebih baik agar individu yang dikenakan tindakan undang-undang berkaitan kegiatan itu mendapat hukuman setimpal.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga sedang meneliti semula takrifan buli siber dan denda yang bersesuaian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes seorang pemilik rumah kebajikan, P Shalini yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh A Rajeswary, atau turut dikenali sebagai Esha, yang didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret pada Selasa.

“Saya kesal dengan denda yang kita nampak begitu kecil, tetapi saya difahamkan daripada pihak Jabatan Peguam Negara ia (pertuduhan) adalah berdasarkan bukti yang telah dikumpul.

“Bagi kes kedua (pemandu lori, B Sathiskumar) guna pakai Seksyen 233 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) dan dendanya RM50,000 dan itu agak signifikan,” katanya kepada media selepas menghadiri KL Startup Summit di Asia School of Business pada Rabu.

Fahmi berkata, pihaknya juga meneliti beberapa komentar oleh pempengaruh media sosial yang terkilan bukan hanya dengan nilai denda tersebut tetapi sikap pesalah itu sendiri yang kelihatan seperti tidak insaf.

“Jadi, sekarang kita perlu bekerja keras untuk memperkukuh undang-undang,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kondominium di Setapak pada 5 Julai lepas, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.