Input your search keywords and press Enter.

VTL Udara & Darat Rancak Ekonomi Negara

Pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat secara serentak dengan VTL udara mulai Isnin ini, akan menjadi pencetus semula kerancakan ekonomi kedua-dua negara.

Johor khususnya memberi tumpuan berhubung pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, akan mendapat manfaat daripada langkah berkenaan – Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad

Persetujuan dicapai kedua-dua negara itu pastinya melegakan rakyatnya masing-masing terutama yang mempunyai keluarga di kedua-dua negara.

Pelaksanaan VTL darat dengan Singapura mampu menjadi pencetus semula kebangkitan dalam proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19 bagi kedua-dua negara, khususnya di Johor.

Memandangkan Johor adalah jiran terdekat Singapura, sudah pasti kehadiran pengembara dari negara jiran mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi, apatah lagi republik itu adalah pelabur terbesar negeri ini sejak dahulu lagi.

VTL darat dilaporkan akan dilaksanakan secara serentak dengan VTL udara yang menggunakan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia bermula Isnin ini, 29 November 2021.

Pelaksanaan VTL darat dan udara itu juga membawa sinar kepada rakyat kedua-dua negara untuk menyambung dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang ‘terputus’ seketika akibat pandemik COVID-19.

Menerusi pelaksanaan VTL ini, suami atau isteri dapat berjumpa semula dengan keluarga tersayang, anak-anak dapat kembali ke pangkuan ibu bapa dan rakyat kedua-dua negara sudah boleh mengunjungi saudara mara masing-masing.

Yang penting, penantian ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk kembali semula ke tanah air sudah berakhir.

Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) akan terus diperkasa bagi mengelak tercetus semula penularan COVID-19.

Sumber: BH