M Update, 27/11/2024 – Lima pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan dibatalkan lantikan dan diberhentikan daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang pada Isnin turut memutuskan kelima-lima individu terbabit dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia.
Jumlah ganti rugi dikira daripada keseluruhan perbelanjaan telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian. Tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara.
Katanya, kes pertama membabitkan pelaku iaitu pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021), Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang ditamatkan perkhidmatan dan perlu membayar ganti rugi RM44,600.
“Kes ini dikesan oleh seorang jurulatih bertugas di ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober, susulan itu satu siasatan dijalankan dan pelaku sudah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. (Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang dituduh di mahkamah atas kesalahan menekap sterika pada tubuh pelatih junior baru-baru ini).
“Dalam kes kedua melibatkan tiga pelaku iaitu Izzat Izuddin Mohammad Arif (pelaku 1), Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (pelaku 2), dan Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi (pelaku 3).
“Ketiga-tiga pelaku melakukan antaranya salah laku secara fizikal, serta mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga pelaku dalam kes kedua ditamatkan perkhidmatan dan masing-masing diarahkan membayar ganti rugi masing-masing berjumlah RM48,452; RM19,481 dan RM44,600.
Kes ketiga membabitkan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Ammar Hafiy Muhammad Habib yang didapati mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa.
Katanya, tindakan salah laku Ammar Hafiy mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada tisu lembut di bahagian bawah belakang tubuh.
“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia berjumlah RM32,115.95.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan bertentangan dengan etika serta peraturan yang ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.
MINDEF berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan yang sepatutnya diamalkan,”katanya. – BH