Input your search keywords and press Enter.

Ibu Bapa Zayn Rayyan Tetap Dibicarakan, Representasi Ditolak

M Update, 06/12/2024 – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi menarik balik pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu.

Keputusan itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh hari ini.

Susulan itu, Raja Zaizul memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain untuk menyelesaikan permohonan dokumen tambahan oleh pihak pembelaan iaitu cakera padat (CD) analisis forensik sebelum perbicaraan bermula.

Sementara itu, peguam bela pasangan itu yang baru dilantik Haresh Mahadevan berkata selain CD analisis forensik telefon bimbit tertuduh, laporan forensik ke atas jasad mangsa juga masih belum dikemukakan kepada pihaknya.

Haresh turut memohon penangguhan pada tarikh hari pertama perbicaraan kes ini yang ditetapkan pada 20 Januari depan dilapangkan atas alasan pihaknya mempunyai perbicaraan di mahkamah di Negeri Sembilan. Perkara itu diakui TPR dan tiada bantahan dikemukakan.

Pasangan itu turut diwakili peguam Ramzani Idris.

Hakim turut menetapkan perbicaraan kes akan bermula pada 3 hingga 7 Februari dan tarikh tambahan pada 10 hingga 14 Mac tahun depan.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, sudah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai, di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.