Input your search keywords and press Enter.

Sumbangan Tunai Rahmah Fasa Tiga Dibayar Sebelum Aidiladha

M Update, 13/06/2023 РBayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula disalurkan kepada penerima yang layak sebelum sambutan Aidiladha, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 juga akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha, Insya-Allah,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, bayaran tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM2 bilion dan akan memanfaatkan lapan juta penerima.

Mengenai belanjawan untuk meringankan beban kos sara hidup pula, Perdana Menteri berkata sehingga Mei ini, sebanyak RM158 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2023 telah belanjakan.

“Ini kapasiti terbaik suku tahun pertama dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. (Daripada jumlah tersebut) RM3 bilion bayaran fasa pertama dan kedua Sumbangan Tunai Rahmah yang memanfaatkan lapan juta orang penerima.

“Selain itu, bantuan khas kewangan kepada lebih satu juta pesara dan 1.3 juta penjawat awam, RM3 bilion untuk subsidi elektrik, RM11 bilion subsidi produk petroleum dan RM800 juta bantuan awal persekolahan.

“Pengecualian setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000, pengecualian duti setem 75 peratus untuk pembelian rumah berharga di antara RM500,000 hingga RM1 juta.

“Duti setem ke atas surat pindah milik harta tanah serta secara kasih sayang melibatkan ibu bapa anak, datuk, nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada satu juta pertama nilai harta tanah,” ujar Anwar lagi.

Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta menyatakan pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan dalam pendekatan serta tata kelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan dan kebocoran wang awam serta adakah kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.