
M Update, 30/06/2025 – Pemandu bot yang terlibat dalam insiden bot terbalik di Pulau Perhentian hingga mengorbankan nyawa tiga pelancong termasuk dua kanak-kanak direman selama tiga hari.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Setiu bermula hari ini hingga Rabu terhadap pemuda berusia 22 tahun itu.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dilaksanakan.
Sebelum ini pemandu bot berkenaan telah ditahan kira-kira jam 8 pagi Ahad selepas didapati positif dadah jenis nimetazepem dan juga mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
Pada Sabtu bot yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik di Pulau Perhentian akibat ombak kuat dan cuaca buruk.
Insiden kira-kira jam 10 malam itu telah menyebabkan mangsa Arumugam Sativelo, 40 tahun, anaknya Sarrvihka Arumugam, 3 tahun, dan saudara mereka Vennpani Vijeya Raj, 10 tahun, maut.
Manakala seorang kanak-kanak kritikal dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.