Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Diingatkan Tidak Sertai Himpunan Di Ibu Negara

Foto: Bernama

M Update, 21/07/2025 – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai sebarang perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini, 26 Julai.

Ini kerana katanya, penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan pada setiap minggu iaitu sentiasa setia kepada raja dan negara.

Menurut Shamsul Azri, mana-mana penjawat awam perlu memahami dan menghayati maksud sebenar ikrar dibaca pada setiap minggu.

“Kita baca ikrar tu setiap hari, setiap minggu. Kesetiaan kepada raja dan negara. Lupakah? Taat setialah kepada raja dan negara,” tegas beliau lagi.

Media semalam melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan antara 10,000 hingga 15,000 orang akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan pada 26 Julai.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM akan membantu memudah cara penganjuran itu di ibu negara.

Beliau memberi jaminan bahawa PDRM akan mengendalikan kawalan keselamatan semasa himpunan itu secara profesional, namun mengingatkan semua pihak agar mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.