Input your search keywords and press Enter.

Pekerja Asing, Pemegang Kad UNHCR Dilarang Masuk Pasar Borong KL – DBKL

M Update, 24/6/2020 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertahankan keputusan melarang pekerja warga asing serta pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) memasuki atau bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) di sini.

Mengulangi pendirian itu, DBKL dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa hanya pekerja yang sah dan berdaftar serta bekerja dengan syarikat pembekal sahaja dibenarkan memasuki pasar tersebut namun perlu diiringi majikan warganegara Malaysia.

Menurut DBKL, larangan itu selaras dengan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (UKK) 16-UKK Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 bahawa tiada lagi pekerja warga asing terlibat dalam sektor itu sekali gus dapat memulihkan persekitaran PBKL serta memberi satu imej baharu yang bersih.

“DBKL juga mendapati tiada keperluan untuk warga asing memasuki PBKL kerana aktiviti pembelian di sini dilakukan secara borong dan bukan runcit. Jika mereka ingin membeli keperluan harian, boleh mendapatkannya di pasar lain seperti Pasar Harian Selayang yang terletak berhampiran.

“Kaedah ini juga terpakai kepada pemegang kad UNHCR kerana DBKL berpendapat tiada keperluan untuk mereka memasuki PBKL disebabkan pembelian barang secara runcit boleh dilakukan di pasar lain atau kedai runcit berhampiran,” demikian menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, PBKL sebelum ini ditutup beberapa kali sehingga menjejaskan aktiviti perniagaan selepas menjadi lokasi penularan COVID-19 yang berpunca daripada warga asing, malah dikenal pasti sebagai Kluster Pasar Borong COVID-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut DBKL, keputusan tersebut bertujuan menangkis persepsi awam bahawa PBKL masih dikuasai warga asing.

“Pelesen dan pekerja yang mempunyai pas pelesen dan pekerja sahaja dibenarkan memasuki PBKL bagi memastikan PBKL bebas daripada warga asing,” menurut kenyataan itu.

DBKL turut memaklumkan 12 tindakan sita telah dilakukan ke atas pemegang kad UNHCR yang menjalankan perniagaan secara haram di sekitar PBKL dalam tempoh PKP dan PKP Pemulihan. – BERNAMA

Leave a Reply