
M Update, 08/10/2025 – Seorang lelaki menyamar sebagai penghantar barang maut selepas bergelut dengan polis ketika hendak diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes samun dan rogol di sebuah kediaman di Wangsa Maju, di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, suspek berusia 26 tahun itu cuba melarikan diri dengan menyerang anggota polis yang hendak memberkasnya.
Polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pecah rumah di Wangsa Maju dan segera bergegas ke lokasi. Ketika tiba, mereka memanggil penghuni rumah namun tidak menerima sebarang jawapan.
Beberapa minit kemudian, seorang lelaki membuka pintu dan membenarkan polis masuk untuk membuat pemeriksaan. Suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes samun secara tiba-tiba mengeluarkan pisau pemotong daging dan cuba menetak anggota polis, menyebabkan berlaku pergelutan.
Anggota polis berjaya mengelak serangan itu, namun salah seorang daripada mereka ditumbuk dan digigit oleh suspek. Dengan bantuan pengawal keselamatan, suspek akhirnya berjaya ditahan.
Tidak lama selepas ditangkap, suspek mengadu sesak nafas sebelum pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
Pemeriksaan forensik juga tidak menemui sebarang kecederaan nyata pada tubuh badan suspek.
Siasatan mendapati empat wanita tempatan berada di rumah berkenaan pada hari kejadian dan suspek telah masuk ke dalam rumah dengan menyamar sebagai penghantar barang. Suspek kemudian mengikat tangan kesemua mangsa dan mengurung tiga daripada mereka di bilik tidur utama.
Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol sebanyak dua kali, masing-masing di bilik dan di tandas. Semua mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan.
Semasa kejadian, suspek turut menyamun wang tunai sebanyak RM200 dan kad ATM milik mangsa sebelum merogolnya.