
M Update, 26/01/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa syukur terhadap prestasi ringgit yang terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun.
Pengukuhan nilai ringgit yang menghampiri paras 3.99 berbanding dolar AS itu disambut positif oleh Datuk Seri Anwar, selaras dengan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara.
Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS pada Isnin, hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun, didorong peningkatan selera risiko pelabur susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), selain kelemahan indeks dolar AS.
Pada pukul 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9850/9950 berbanding dolar AS daripada 4.0045/0080 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.
Kali terakhir ringgit diniagakan pada paras hampir sama ialah pada 24 Mei 2018 apabila mencecah 3.9797 berbanding dolar Amerika Syarikat. – Berita RTM