
M Update, 12/02/2026 – Kebebasan bersuara tidak seharusnya mengatasi kepentingan perpaduan negara dan kedaulatan undang-undang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia perlu terus mengekalkan keharmonian dengan menghormati sensitiviti semua pihak serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Menerusi satu video yang dikongsikan, Anwar menegaskan kegagalan menghormati prinsip berkenaan boleh menimbulkan isu dan masalah dalam masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa sesebuah negara perlu berasaskan peraturan dan undang-undang, bukannya kehendak atau kecenderungan individu. Katanya, walau sekuat mana perasaan seseorang sama ada suka atau tidak, setiap pihak tetap perlu menghormati kepercayaan antara satu sama lain serta mematuhi peraturan asas yang telah ditetapkan.
Perdana Menteri mengakui pendirian tersebut mungkin kurang disenangi oleh sesetengah pihak, namun menegaskan bahawa sesebuah negara tidak boleh membenarkan mana-mana kumpulan bertindak dengan mengabaikan peraturan dan undang-undang.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan keamanan negara terus terpelihara dengan berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang.