Input your search keywords and press Enter.

Operasi Evakuasi Berjaya: 179 Rakyat Malaysia Dari Qatar Selamat Pulang

Antara 163 rakyat Malaysia daripada 170 penumpang yang selamat tiba di tanah air dari Jeddah, Arab Saudi. Foto: Bernama

M Update, 12/03/2026 – Seramai 179 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air dari Doha, Qatar tengah malam tadi menerusi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat.

Mereka dibawa pulang menggunakan penerbangan Qatar Airways QR852, iaitu penerbangan pertama laluan Doha–Kuala Lumpur selepas ruang udara ditutup pada 28 Februari lalu. Kumpulan itu termasuk 59 rakyat Malaysia yang terkandas serta rakyat Malaysia yang menetap di Qatar yang membeli tiket penerbangan sendiri.

Penerbangan berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.46 tengah malam, menurut semakan portal penjejakan penerbangan. Turut berada dalam penerbangan itu ialah beberapa warga asing termasuk dari Filipina dan Australia yang akan meneruskan perjalanan ke negara masing-masing.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia turut melaksanakan operasi evakuasi pertama menggunakan penerbangan khas Malaysia Airlines, yang membawa pulang 170 individu dari beberapa negara Asia Barat.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka terdiri daripada 133 rakyat Malaysia dari Jeddah dan Madinah, selain yang dipindahkan dari Qatar (34), Syria (2) dan Jordan (1). Penerbangan itu juga membawa beberapa warga asing yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia.

Operasi evakuasi tersebut diselaraskan oleh MKN dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta perwakilan Malaysia di Jeddah, Doha dan Amman.