Input your search keywords and press Enter.

Rohingnya Ditahan 2 Tahun Kerana Malaysia Tegas

M Update, 22/04/2022 – Penguat kuasa menahan masyarakat Rohingya selama dua tahun sebagai isyarat Malaysia tidak berkompromi terhadap kumpulan yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata semua yang ditahan itu tertakluk kepada undang-undang negara ini. Beliau berkata, Malaysia juga tidak boleh menghantar mereka pulang ke Myanmar kerana kerajaan negara itu tidak mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai warganegara.

Katanya, tindakan menahan mana-mana individu yang memasuki negara ini tanpa dokumen bukan hanya diambil terhadap pelarian Rohingya, malah kepada rakyat negara lain yang cuba berbuat demikian.

“Kita nak memaklumkan kepada mereka yang teringin nak datang ke sini, walaupun atas sifat kemanusiaan, kita menjaga mereka tapi bukan bermakna kita mahu mereka berada di sini. Jika kita nak hantar balik, kita nak hantar balik mana? Ini yang menjadi masalah kepada kita,” katanya semalam.

Hamzah berkata, jika individu yang memasuki negara ini dilepaskan selepas hanya ditahan pada tempoh singkat, ia akan memberi persepsi sesiapa saja boleh datang ke negara ini secara haram tanpa dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya masih mengesan seramai 104 lagi tahanan masyarakat Rohingya yang melarikan diri kira-kira jam 4 pagi Rabu.

Awal pagi Rabu itu, seramai 528 tahanan masyarakat Rohingya di Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap meloloskan diri, selepas berlaku rusuhan.

Setakat malam ini seramai 424 tahanan sudah ditangkap semula dan ditempatkan di beberapa pusat tahanan sementara Jabatan Imigresen. -BH