
M Update, 02/04/2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menjalankan siasatan terhadap lima individu yang dipercayai menyebarkan maklumat tidak benar mengenai kenaikan harga petrol dan diesel di platform Threads.
Menurut kenyataan MCMC, tiga daripada suspek telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Berdasarkan aduan yang diterima, kandungan yang dikongsi didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Hasil semakan turut mendapati pihak Buletin TV3 telah menafikan sebarang kaitan dengan kandungan tersebut, yang dipercayai disunting menggunakan identiti visual mereka oleh pihak ketiga. MCMC juga mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Buletin TV3 berhubung perkara itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa mereka memandang serius penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang.
Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.