Negara Masuki Fasa Monsun Barat Daya, Orang Ramai Diminta Sentiasa Berwaspada

M Update, 14/05/2026 – Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan negara akan memasuki fasa Monsun Barat Daya bermula hari ini sehingga September depan dengan kebanyakan kawasan dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering serta taburan hujan yang lebih rendah.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata orang ramai disaran supaya sentiasa mengambil maklum perkembangan cuaca semasa selain menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan jerebu serta pencemaran udara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara bagaimanapun berkata hujan lebat, angin kencang dan ribut petir masih berpotensi berlaku di beberapa kawasan tertentu sepanjang tempoh monsun berkenaan.
Menurutnya, fenomena garis badai dijangka boleh berlaku di kawasan pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutama pada awal pagi serta berlarutan selama beberapa jam.
Sehubungan itu, orang ramai diminta terus berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia atau MetMalaysia.
