Peguam Dedah Suspek Kes Tikam Pelajar Adalah OKU Autisme

M Update, 07/07/2026 – “Anak guam saya merupakan seorang autistik. Itu sahaja yang boleh saya maklumkan.”
Demikian penjelasan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Vijeswari Devi yang mengesahkan remaja perempuan dipercayai terbabit dalam kes tikaman membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Kuala Langat ialah seorang orang kurang upaya (OKU).
Sebelum itu, remaja berusia 15 tahun berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis. Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi ketika dihubungi mengesahkan tempoh reman itu sambil memaklumkan siasatan masih diteruskan.
Dalam pada itu, pekarangan Mahkamah Telok Datok sejak awal pagi menjadi tumpuan pengamal media yang menantikan perkembangan terkini kes berprofil tinggi itu. Tinjauan mendapati kira-kira 20 petugas media sudah berkumpul di lokasi seawal jam 8.30 pagi.
Bagaimanapun, suspek yang juga pelajar sekolah terbabit tidak kelihatan kerana dipercayai dibawa masuk ke kawasan mahkamah lebih awal, sekitar jam 8.10 pagi, sebelum dibawa keluar kira-kira sejam kemudian menaiki kenderaan polis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam beberapa kali dalam satu insiden yang menggemparkan warga sekolah.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan. Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memasuki kawasan kantin melalui laluan berhampiran surau sebelum kejadian berlaku.
Remaja yang memakai kemeja-T hitam itu juga difahamkan sudah beberapa bulan tidak hadir ke sekolah kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar sebelum ini mengesahkan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
