KASTAM KLIA TUMPASKAN DUA SINDIKET DADAH, RAMPASAN BERNILAI RM2.87 JUTA

Foto: BH

M Update, 23/11/2026 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya membongkar dua kegiatan penyeludupan dadah jenis Methamphetamine menerusi operasi berasingan di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 4 dan 14 November lalu.

Pengarah Kastam JKDM KLIA, Aspalila Ag Tuah berkata, operasi pada 14 November membawa kepada penemuan 15,456 unit katrij vape yang mengandungi 30.91 liter cecair disyaki Methamphetamine dengan nilai anggaran RM1.54 juta.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kesemua katrij berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Kuching, Sarawak menggunakan dokumen Borang Kastam.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo untuk membawa masuk dadah berkenaan, selain memprosesnya dalam bentuk cecair sebelum dimasukkan ke dalam katrij vape bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa.

Dalam kes berasingan, JKDM KLIA turut berjaya mengesan dua kotak bungkusan yang didaftarkan untuk dieksport ke sebuah negara di benua Oceania menerusi salah sebuah Pengendali Terminal Kargo (CTO).

Aspalila berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua bungkusan itu menemukan 26 ketulan kristal Methamphetamine yang telah dimampatkan dengan berat keseluruhan 26.55 kilogram dan nilai dianggarkan RM1.32 juta.

Katanya, dadah tersebut dipercayai cuba diseludup keluar menggunakan perkhidmatan bungkusan (parcel) sebelum disorokkan di dalam paket plastik berlabel ‘Refined Chinese Tea’ bagi mengelakkan dikesan menerusi pemeriksaan imbasan.

Berikutan kedua-dua rampasan itu, wakil syarikat pengendali penghantaran barangan telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, Aspalila menegaskan bahawa kegiatan penyeludupan merupakan ancaman serius yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah boleh menjejaskan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan JKDM dalam membanteras kegiatan penyeludupan, termasuk membabitkan dadah, rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya menerusi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat Kastam berhampiran.

JKDM memberi jaminan bahawa identiti individu yang menyalurkan maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.