KAPTEN AA RARETV MENINGGAL DUNIA KETIKA DIRAWAT DI OMAN

M Update, 27/11/2026 -Personaliti media sosial, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA RARETV, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Muscat, Oman pada Jumaat.
Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh Saiful Nang menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.
Menerusi perkongsian itu, Saiful Nang memaklumkan Kapten AA meninggal dunia pada jam 6.58 petang waktu tempatan Oman, selepas waktu Maghrib.
Allahyarham sebelum ini berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu terbitan TV AlHijrah.
Menurut Saiful Nang, Kapten AA pada mulanya mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Nizwa sebelum dipindahkan ke Muscat selepas mengalami demam serta jangkitan paru-paru.
Terdahulu, TV AlHijrah memaklumkan Allahyarham telah ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi di Hospital Badr Al Samaa Royal, Muscat ketika menyertai penggambaran program berkenaan.
