M Update, 14/3/2019 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat dan mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.
Sumbangan itu juga membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa yang terbabit dalam operasi dapat memperlengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang diperlukan.
“Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat Diraja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan baginda juga amat tersentuh apabila mendengar sebuah klip rakaman di mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.
“Tuanku Sultan turut berpendapat dengan kurniaan sumbangan peribadi baginda, ia dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti Bomba dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) memperlengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” Raja Zarith.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sultan Johor murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sehingga memberi kesan kepada murid, pelajar dan orang awam.
Sultan Ibrahim mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu.
Sehingga semalam, lebih 500 individu membabitkan murid, pelajar dan orang awam sekitar kawasan Pasir Gudang terkesan akibat pencemaran dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.
Sumber : Berita Harian