M Update, 18/3/2019 – Dua pemancing hilang selepas bot yang mereka naiki bersama lapan rakan mereka karam di perairan Rompin kira-kira 1.9 batu nautika dari Pulau Layak, Tanjung Gemok, sejak Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Alfa Rizuan Abd Aziz dan Azwan Abu Bakar.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, semua 10 pemancing bertolak dari jeti Tanjung Puteri, Kuala Rompin di sini, jam 4 petang Jumaat lalu.
Lapan pemancing berjaya diselamatkan oleh bot nelayan pukat jerut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan selepas 10 jam terapung di tengah laut, namun dua pemancing didapati hilang.
Mangsa yang terselamat membuat laporan di Balai Polis Tanjung Gemok awal pagi kelmarin sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bermula jam 8 pagi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan bot Maritim Pengalang dan operasi berkenaan turut dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menggerakkan aset KD Pendekar.
Semoga operasi SAR dipermudahkan dan dua orang mangsa segera ditemui.
Sumber : Berita Harian