M Update, 10/4/2019 – Seorang gadis Jepun yang rambutnya tidak pernah digunting sejak dilahirkan buat pertama kali pada usia 19 tahun akhirnya memotong rambutnya itu minggu lalu, kerana akan memulakan pengajian di universiti bulan ini.
Keito Kawahara, 19, yang pernah diiktiraf mempunyai rambut terpanjang di dunia, mahu mendermakan rambutnya itu kepada organisasi bukan kerajaan untuk dijadikan rambut palsu. Gadis dari Izumu, Kagoshima, mula membiarkan rambutnya menjadi panjang kerana mahu menutup parut di kepala akibat pembedahan ketika bayi.
Setiap pagi, Keito yang bakal memulakan pengajian di sebuah universiti di Kumamoto, mengikat rambutnya menjadi tocang sebelum ke sekolah. Dia pernah beberapa kali terfikir untuk mengubah gaya rambut, namun membatalkan niat itu kerana mahu menumpu kepada peperiksaan kemasukan universiti.
Pada Mac tahun lalu, Rekod Dunia Guinness mengiktiraf Keito mempunyai rambut paling panjang di dunia bagi remaja berusia antara 13 hingga 17, sepanjang 155.5 sentimeter. – HM Online